We all have stories to tell | Luka Dilukai


Kanan dan kiri cuba berlari
Masih ku dihujani tohmah dan caci

Jangan sekali aku diletak ke bawah
Hanya kerana jalan hidup yang susah

Tak siapa di antara kita di dunia
Memilih jalan hidup yang derita

Aku sering dipersenda dan sering dikecewa
Oleh hati mereka yang tak punya rasa

Ingin ku mengecap bahagia
Padamu kasih yang menjanjikan setia
Namun belum sempat ku merasa
Mimpi yang di bina
Hati mudah berdarah semula
Kerana dustanya...

Terhempas lagi
Kesekian kali
Luka yang dilukai
Menguji diri

Namun begitu
Aku tabahkan semangat
Biar waktu merawat
Segalanya...


Luka Dilukai - Shima


Masih ingatkah korang lagu Luka Dilukai nyanyian Shima? Setiap kali mendengar lagu ini membuat aku termenung dan terkenangkan sejarah hidup aku sendiri. Seingat aku, sedari kecil aku memang ditakdirkan menjadi mangsa fitnah. Seawal tingkatan 1 aku sudah aktif ke sana ke mari memarahi suri-suri rumah yang bermulut becok supaya berhenti dari memfitnah aku. Kadang-kadang jika gagal aku mengadu terus kepada suami mereka minta tolong supaya nasihatkan isteri mereka masing-masing.

Ya seawal tingkatan 1. Aku lakukan itu kerana arwah mak aku sakit jantung. Aku bimbang jika mak aku terdengar berita itu sakitnya bertambah teruk. Sememangnya hospital rumah no.1 mak aku. Sekali sekala saja mak aku berpeluang untuk pulang ke rumah. Aku tak pernah bersalah tetapi aku mangsa keadaan. Ayah aku suka membuang masa bersama kawan-kawan di hujung kampung. Apabila ada kecemasan tidak kira waktu aku terpaksa mencari ayah aku keliling kampung sampai lah ke hujung kampung. Kadang kala aku terserempak dengan pelajar-pelajar lelaki berpangkat senior di sekolah aku yang kesian melihat aku berjalan seorang diri pada waktu malam jadi mereka temankan aku berjalan mencari ayah aku.

Esok pagi riuh sekampung aku buat projek dengan ramai lelaki. Lepas 1, 1 cerita tentang aku timbul. Baru tingkatan 1, aku dikatakan tidur dengan lebih dari 10 lelaki. Semua orang-orang tua dan kawan-kawan arwah mak aku sering memandang serong kepada aku. Maklumlah mak sakit, aku berpoya-poya, agaknya itu yang mereka fikirkan. Aku dah tak ada suara untuk membelakan diri aku sendiri jadinya aku diamkan saja dan tebalkan muka tetapi aku akan berusaha untuk bercakap dengan semua supaya jangan bagi mak aku dengar semua cerita-cerita itu kerana aku tidak sampai hati melihat mak kecewa dalam sakitnya.


Semasa tingkatan 2 arwah mak hantar aku tinggal bersama nenek dan mak sedara aku. Mungkin mak terdengar juga segala cerita-cerita dusta itu. Aku akur kerana fokus aku cuma 1 aku tak nak kecewakan mak aku. Aku tak pasti mak aku percaya semua cerita itu atau tidak. Di kampung nenek, aku punyai banyak peminat-peminat dari sekolah. Budak-budak lelaki tingkatan 2 hingga 5 tidak berhenti-henti menghantar surat cinta. Percaya atau tidak aku mendapat hampir 30 kad raya dari lelaki yang berbeza mencurahkan perasaan masing-masing.

Aku tidak secantik mana, aku pun tidak tahu kenapa mereka memilih aku. Mungkin kerana hormon remaja mereka dan mungkin bukan aku seorang saja yang mendapat surat cinta. Keluarga aku keluarga educated. Pak cik, Makcik dan sepupu-sepupu aku semuanya berpelajaran tinggi. Mereka tiada kerja lain selain dari belajar dan terus belajar. Selepas ijazah ke master, selepas ke master ke PHd. Tiada jiwang dalam keluarga aku di kampung nenek. Hanya aku yang sering mendapat surat cinta. Peristiwa ini membuatkan aku dipandang serong oleh keluarga pula. Makcik aku mengeluarkan cerita tentang aku kaki melayan, gatal dan kuat berpeleseran.

Cakap terus terang memang aku keluar setiap hari tetapi aku keluar pergi ke rumah nenek aku sebelah ayah. Aku tinggal di rumah nenek sebelah emak di jalan besar manakala nenek aku sebelah ayah tinggal di dalam kampung. Setiap hari selepas sekolah aku akan pergi ke sana untuk bermanja. Nenek aku di sebelah mak sangat manjakan makcik aku manakala aku sebenarnya sesak nafas untuk tinggal di rumah yang terlalu serius dan tiada kasih sayang itu. Fokus mereka cuma belajar dan belajar. Tiada nilai kasih sayang dan keseronokkan di sana. Aku jenis manusia yang suka ketawa. Aku suka suasana santai dan bukan suasana tegang. Nenek di sebelah ayah boleh berikan sedikit kebahagiaan buat aku. Tapi pemergian aku ke rumah nenek di salah erti dan di pusing cerita menjadi cerita aku berdating di dalam kampung.


Pernah sekali Pak Cik aku yang paling garang mengamuk apabila makcik aku beritahu bahawa aku dirogol di tengah sawah. Selepas itu pakcik2 aku memandang aku ibarat sampah. Pakcik aku pernah memanggil aku perempuan pelayan sambil mencebik bibir. Maklumlah aku memberi nama buruk kepada keluarga. Aku tidak tidak tahu menahu pun kerana aku cuma duduk di rumah nenek. Aku tahu diri aku sendiri. Aku tidak pernah melayan sebarang lelaki. Fitnah demi fitnah mak cik aku taburkan. Makcik aku seolah-olah cuba membuat sepupu-sepupu aku juga percaya yang aku perempuan jalang. Apabila aku lalu sebelah pasti dia melemparkan kata-kata nista yang memedihkan telinga. Sepupu-sepupuku semuanya lelaki. Aku anak perempuan tunggal dan satu-satunya sepupu perempuan di belah ibuku.

Antara ramai-ramai sepupu, ada seorang sepupuku yang tua 3 tahun dariku yang prihatin terhadap aku. Setiap kata makcik aku ditepis atau diterimanya dengan senyuman sinis saja. Aku tidak tahu dia percaya atau tidak dengan semua fitnah-fitnah itu yang pastinya dia sentiasa cuba untuk pastikan aku ok. Ini menambahkan kemarahan mak cik aku kerana sepupuku itu favorite dia. Aku tidak tahu kenapa sepupu aku begitu. Aku selalu ternampak dia masuk ke dalam bilik aku semasa aku keluar. Aku dan sepupu aku ibarat adik beradik. Kami tidak akan boleh berkahwin kerana kami sepupu sesusu. Makcik aku akan tekankan perkataan tu kuat-kuat supaya aku faham dan tidak mengorat sepupuku itu. Lagi kuat perhatian dan care yang sepupu tunjukkan kepada aku lagi teruk aku kena. Pernah sekali depan-depan aku dia beritahu sepupu aku yang aku terkena sakit puan dan bawah aku keluar bau busuk hanyir. Jatuh air muka aku.


Lama-lama aku fedup dengan fitnah mak cik aku dan perhatian dari sepupu aku. Aku saja buat perangai nakal. Aku mula mencuri duit mak cik dan sepupu aku dan menjadi perokok. Aku buat semua itu supaya sepupu aku bencikan aku. Sesungguhnya duduk setahun bersamanya terasa seperti duduk dalam neraka dan aku sentiasa tiada suara untuk membalas atau membela diri. Kalaulah aku tahu bagaimana caranya mengatal dengan lelaki semasa itu aku pasti sudah menjadi bohsia kerana kadang-kadang kita tak pernah berniat jadi jahat. Tapi kadang-kadang perangai orang sekeliling mendorong kita untuk menjadi jahat.

Seawal tingkatan 2 aku sudah kenal erti depresi. Aku betul-betul depress sampai jiwa aku jadi kering. Aku hilang perasaan baik, malu, takut dan sedih. Aku dah lali. Aku hanya terbaring dalam bilik dan memandang syiling setiap hari jika tidak dibenarkan masuk ke dalam kampung. Akhirnya aku hantar surat kepada mak dan abah beritahu mereka bahawa aku tak ingin tinggal bersama nenek lagi. Arwah mak mungkin rindukan aku juga, segera dia membawa aku pulang.

Semasa tingkatan 3 kami berpindah ke tempat baru dan aku akhirnya bebas dari kampung puaka tempat suri2 rumah mulut jahat dan berpindah jauh dari mak cik ku. Tapi mak cik aku macam biasa macam-macam kata tohmah dan cerita fitnah dia beritahu mak aku sampai mak aku dah tak benarkan aku ke mana-mana hatta ke kedai runcit sekalipun. Aku cuba untuk beritahu mak bahawa adiknya itu jenis busuk hati dan jahat mulut biarpun berpelajaran tinggi tapi arwah mak menangis meminta aku berhenti mengutuk adiknya. Aku tiada tempat untuk mengadu. Jadi aku redhokan saja dikongkong dah dikurung di rumah. Sekali sekala sepupuku itu datang ke rumah untuk melawat.


Dia cuba mengajak aku keluar berjalan. Mak akan benarkan aku keluar kalau dengan ahli keluarga tapi aku menolak kerana melihat wajah dia mengingatkan aku tentang makcik aku. Makcik aku memang aim aku tapi sifat caring sepupuku terhadap aku membuat makcik aku bertambah brutal mendera jiwa aku. Sesungguhnya aku dera jiwa sepupu aku yang tidak bersalah itu kerana aku betul-betul terluka dengan pengalaman tinggal bersama mak cik aku

Semasa di tingkatan 3 hingga tingkatan 5 adalah waktu yang paling tenteram buat aku. Aku berpeluang untuk hidup seperti orang lain tanpa kata-kata buruk dari orang lain. Jiran-jiran kali ini agak civilize dan tidak begitu mengambil tahu hal orang lain. Biarpun dikongkong dan dikontrol tinggal di rumah sahaja, aku rela kerana apa sangatlah kena hukum duduk di rumah berbanding di beri kata-kata nista sepanjang hari. Ya aku bahagia.


Semasa menunggu keputusan SPM arwah ibuku pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Jiwa aku kembali ke zero. Aku tiba-tiba hilang rasa sedih dan pilu. Aku lihat sahaja jenazah ibuku dibawa pergi tanpa setitikpun air mata  ku tumpah. Hakikatnya aku menangis dalam hati tapi aku terima hakikat yang mak aku sakit dah terlalu lama. Dia sangat menderita apabila sakitnya tiba. Kadang-kadang dia ketawa dan meracau bercakap sendirian apabila sakitnya datang.  Aku redha mak pergi. Oleh kerana aku tahu ibuku seorang yang baik hati, aku yakin arwah mak mempunyai tempat yang baik di sisi Allah. Jadi aku redha dan tidak menangis apa bila mak pergi. Malangnya biarpun hanya aku saja yang tahu kenapa aku tidak menangis dan aku tahu aku strong...membuat orang membuat spekulasi dan pelik kerana aku tidak menangis. Rata-rata rumor mengatakan aku gembira kini sebab dah boleh bebas.

Setahun selepas itu, ayah aku berkahwin lain. Ya peristiwa hitam berulang kembali. Mak tiri aku dulu jiran merangkap kakak angkat aku juga. Selepas berkahwin dengan ayah aku dia terima abang dan adik aku tapi bencikan aku. Kali ini aku difitnah lagi dan lagi dan lagi. Jiran-jiran yang dulunya civilize dan tak ambil tahu hal orang dah mula memandang aku serong. Habis koleksi buku dan majalah aku dibakar. Baju-baju aku juga dibakar. Aku lupa pula nak cerita yang aku suka pakai seksi masa remaja dulu.  Bukanlah seksi mana cuma baju ikut body je. Tak apalah aku fikir jika dia rasa baju seksi tak elok. Tapi aku tak suka dia membuat cerita tentang aku jadi aku bersemuka dan kami bergaduh, berakhir dengan aku dipukul oleh ayah aku. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan bekerja. Aku berpindah untuk tinggal bersama kawan baikku.


Aku fikirkan sudah selesai tapi tidak. Aku perempuan simpanan datuk. Aku bohsia, yang buruk semuanya aku.  Pernah sekali ayahku datang dan memberitahu bahawa di kawasan tempat tinggal aku dah kecoh bahawa aku  mengandung. Ayahku yang sedia maklum yang anak daranya yang berbadan kecil dan pendek ini ada ciri-ciri taiko dalam jiwa meminta aku siasat siapa yang memulakan cerita. Bermulalah kembali episod aku memaki isteri-isteri orang dan berjumpa suami orang supaya menjaga isteri mereka baik-baik. Yang sedihnya jiran-jiran aku ni dulunya sayang benar dengan arwah mak aku, bila mak aku dah takde, diaorang mudah-mudah je terpedaya dengar cerita orang.

Setelah habis dikaji dan disiasat rupanya yang membuat ceritanya adalah mak tiri aku. Mak tiri aku terus menguncikan diri dalam rumah dan tidak berani untuk keluar. Akupun balik dan memberitahu ayah aku. Tapi sayang ayah aku lebih sayangkan bini dari anaknya sendiri. Aku redha aku tahu ayah aku fikir aku strong , aku boleh jalani hidup kerana aku dah biasa difitnah dari kecil.

Sebenarnya cerita itu tidak habis di situ. Mak tiri aku terus berdendam dan bencikan aku. Tapi aku abaikan segala-galanya kerana aku ingin ayah aku hidup bahagia. Aku jalani hidup aku seperti biasa biarpun susah tanpa mak. Selalu aku mimpi mak datang bila aku sedih. Dalam mimpi aku luahkan segala rasa sedih. Mak hanya mendengar cerita aku di dalam mimpi itu. Aku susah menangis kerana aku kadang-kadang macam tak ada soul. Buat apa menangis pun bukan ada orang simpati dan bukan ada orang nak care pun, kan?


Akhirnya aku bertemu dengan suami aku sekarang. Sebelum berkahwin aku ceritakan dahulu segala sejarah dan kisah hidup aku.  Tiba waktu untuk bernikah aku cuma panggil ayahku untuk datang sebagai wali, aku tidak membuat sebarang majlis aku fikirkan akad nikah sudah cukup. Tetapi mak tiri aku meroyan apabila tahu aku hendak menikah. Awal-awal lagi dia telefon ibu mertua aku bercerita segala keburukan aku tapi alhamdulillah kalau dah jodoh tidak kemana. Mak mertua aku dengar tapi lebih percayakan kata-kata suamiku. Ibu mertua ku terima aku dengan tangan terbuka.

Mak tiri aku paksa aku untuk buat majlis yang end up dia malukan aku di majlis kahwin. Kemudian dia hantar sms dan memanggil aku babi. Suami bangkit untuk pertahankan aku. Malah suami aku pertahankan aku dalam semua situasi termasuklah menjawab segala kutukan dari mak cik aku. Aku rasa boleh bernafas sedikit sekarang. Biarpun suami aku taklah perfect dia adalah hadiah dari Allah untuk aku.  Dia pelindung aku, dia macam bodyguard kepada aku, kini tiada siapa boleh suka-suka nak bercakap tentang aku. Suami aku garang tau! Dia garang dengan orang lain aje, dengan aku dia kalah juga sebab akukan taiko kecik hehehe.


Memori...susah hendak kita lupakan. Lebih-lebih lagi memori yang buruk. Takpe aku akan terus tabah. Pengalaman-pengalaman sebegini menguatkan kita untuk hadapi hidup sebenarnya. Jika mak kamu masih hidup hormati dan jaga ibu kamu baik-baik ya? Susah hidup tanpa ibu. Lebih 20 tahun aku hidup sendirian tanpa ibu, macam-macam dugaan yang aku hadapi, bermacam orang yang aku jumpa. Aku kaya dengan pengalaman dan ianya mengajar erti "empathy" dan "compassion". Ianya juga mengajar aku supaya jangan terlalu cepat menilai seseorang hanya kerana kita tengok kelakuan dan perangai dia tak elok pada mata kita.

Panjang lagi sebenarnya cerita aku. Kalau nak cerita tentang fitnah kawan-kawan, bapa sendiri, sedara sendiri tak habis ruang blog ni. Kalau diikutkan pengalaman aku dari ting.1 sampai ke hari aku berjumpa suami aku, boleh buat novel teruknya aku asik terkena dengan orang. Jadi aku stop aje di sini. Aku redha dan terima yang memang dah nasib aku jadi mangsa fitnah tanpa henti.


Kalau korang rasa hidup korang susah, masalah bertimpa tanpa henti....teruskan perjalanan dan banyakkan berdoa. Pasti ada jalan penyelesaian dan cahaya di hujung perjalanan. Tabah dan sabar ya. Anggap aja kita terpilih. Allah pilih kita sebab kita kuat, kita boleh lawan semua dugaan yang datang. Kita super hero. Jangan cepat mengalah. Biarpun perit redah aje, tiada istilah Tuhan tidak adil dan sebagainya. Pasti ada rahmat di sebalik setiap ujian.

Tengok aku, berpuluh tahun hidup aku kena fitnah, kena pedajal, dan macam-macam lagi kena buat dengan orang tapi aku hidup je. Lagi suka layan cerita lawak. Aku survive, korang pun boleh, ok? Trust me, dear.

Sedarilah masing-masing ada cerita masing-masing. Ada sebab kenapa dia jadi dan bersikap begitu. Belajarlah memahami bahawa kadang-kadang sakit di dalam hati memang boleh mengubah sikap dan pendirian seseorang.

Dikuasakan oleh Blogger.