13 Wanita Kerugian RM400,000 Angkara Terjerat Sindiket Penipuan Love Scam Oleh Warga Nigeria.


KUALA LUMPUR 10 Mac - Sindiket penipuan Love Scam dilihat bagai tiada penghujung­nya apabila kumpulan penipu terus menyasarkan laman-laman so­sial untuk mencari mangsa.

Lebih membimbangkan, sindi­ket itu menyenaraikan nama-nama wanita yang berada dalam senarai kenalan Facebook mereka dalam sebuah buku catatan khas bagi memudahkan mereka memasang jerat.

Dengan cara ini, mereka dapat mengenal pasti individu-individu yang mudah terjerat sehingga menjadi mangsa penipuan.

Terbaharu, satu sindiket Love Scam warga Nigeria memperdaya 13 wanita tempatan sehingga mengakibatkan mangsa kerugian hampir RM400,000.

Namun, kegiatan sindiket yang telah beroperasi sejak tahun lalu itu ditumpaskan selepas enam individu termasuk dua wanita tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan di Petaling Jaya, dekat sini semalam.

Suspek yang didalangi dua lelaki warga Nigeria itu diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam di sebuah hotel oleh sepasukan po­lis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mer­sial (JSJK) Bukit Aman.

Turut ditahan dalam serbuan tersebut ialah seorang wanita tempatan yang berperanan sebagai orang tengah dengan menyamar se­bagai kakitangan syarikat kurier bagi memperdaya mangsa.

Timbalan Pengarah Risikan Ope­rasi JSJK, Senior Asisten Komisio­ner Roslan Abd. Wahid berkata, berikutan penahanan tersebut, pihaknya telah membuat serbuan di Pangsapuri Mentari Court dan menahan tiga lagi wanita terdiri daripada dua warga Filipina dan seorang warga tempatan.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan berusia antara 25 sehingga 49 tahun.

“Hasil siasatan, salah seorang wanita tempatan yang ditahan meru­pakan isteri kepada salah seorang lelaki warga Nigeria terbabit.

“Kita percaya wanita tempatan itu turut terlibat dalam penipuan ini dengan menjadi orang tengah bagi meyakinkan mangsa supaya memasukkan wang ke dalam akaun manakala dua wanita Filipina pula berperanan sebagai perunding bagi mangsa-mangsa yang berada di luar negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan memberitahu, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 12 tele­fon bimbit pelbagai jenama, enam kad bank serta tiga komputer riba dan sebuah buku catatan yang mengandungi pelbagai nama wanita warga asing dan tempatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui bagaimana kedua-dua lelaki warga Nigeria dan dua wanita Filipina itu masuk ke negara ini memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan yang sah.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga esok dan kita juga akan memohon untuk sambung reman selepas itu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ke­rana menipu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter miliknya turut merakam tahniah atas kejayaan itu.

“Syabas JSJK Bukit Aman @PDRMsia tangkap enam orang termasuk dua warga Nigeria Kumpulan Romance Scam di Sunway selesaikan 12 kes melibatkan kerugian 400k. #GoPDRMGo,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.