Perkahwinan Yang Retak : Pertahankan atau Melepaskan.



Dalam Islam perceraian adalah sesuatu yang sangat dimurkai Allah.

Dari Ibnu Umar ra., ia berkata: “Rasulullah saw. bersabda : “Perbuatan halal yang dimurkai Allah adalah talak/ perceraian.” (HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah.)

Tetapi bagaimana pula kalau kita telah puas mempertahankan tapi hasilnya memakan diri sendiri. Bertahun-tahun lamanya saya menderita dan terseksa dalam ikatan perkahwinan. 12 tahun bukan masa yang pendek. Saya telah menjadi terbiasa dengan kesengsaraan. Tidak pernah terfikir oleh saya bahawa saya mempunyai pilihan lain untuk terus menghirup udara dan hidup tanpa penderitaan. Tidak pernah terfikir bahawa saya mungkin boleh bercinta dan dicintai semula dengan insan lain.

Saya terperangkap dalam perkahwinan yang tidak bahagia. Setiap hari hati saya sering terluka dan memendam rasa. Saya sering berkata pada diri sendiri bahawa ini adalah akibat dari pilihan saya sendiri, maka saya harus menanggungnya. Selama 12 tahun saya bertahan akhirnya saya sering terfikirkan perkataan "cerai" kerana saya sudah letih dengan keperitan dan hidup berpura-pura.

Ya. Mungkin bercerai adalah lebih baik dari terus hidup dalam api. Allah Maha Tahu. Allah Maha Adil. Mungkin ini jalannya untuk saya meneruskan hidup dan menjalani hidup baru. Perjalanan hidup selepas bercerai memerlukan semangat juang yang kuat. Permulaan hidup selepas bercerai bukanlah mudah. Kadang-kadang ibarat berjalan di atas bara api tapi ia membuat jiwa kita lebih  kental dan kuat. Cabaran-cabaran dan kekuatan untuk menempuh segala masalah sendirian menjadikan siapa saya pada hari ini.

Bertahun lamanya saya merahsiakan segala masalah saya. Saya simpan dan pendam segala-galanya dengan kerja kerja dan kerja. Saya tidak ada masa untuk merintih dan menangis. Hingga pada suatu hari saya mengambil keputusan untuk menamatkan semuanya. Saya sudah tidak tertahan lagi bersuamikan lelaki yang suka pergi ke Night Club dan melanggan GRO. Setiap malam suami saya balik berbau alkohol yang memualkan. Saya sudah tidak sanggup mendekati lelaki yang hampir setiap hari berbau minyak wangi dari perempuan lain. 

Saya sudah tidak ingin pertahankan mahligai perkahwinan ini kerana kesabaran saya sudah hilang. Saya tidak mahu anak-anak saya berbapakan seorang pemabuk dan kaki night club. Saya tidak mahu anak-anak saya mencium bau arak dari bapanya. Dia berbau arak hampir setiap masa. Saya sudah tidak mahu pertahankan suami saya lagi. Saya tidak mahu suami saya memberi contoh yang seteruk ini kepada anak-anak.

Semasa saya mengambil keputusan berkahwin dengannya, saya tidak sangka takdir saya akan berubah sebegini rupa. Saya tidak pernah menyangka yang dia boleh berubah sebegini sekali. Jika ditegur, saya dimaki hamun, pernah dia menampar muka saya kerana saya marahkan dia balik mabuk hingga dipapah oleh kawan-kawannya. Saya tidak pernah menduga yang cinta dan kasih sayang saya padanya boleh pudar atau hilang sama sekali selepas 12 tahun bersabar. Dialah cinta pertama saya dan saya tidak tahu bagaimana hendak maju ke depan tanpa dia di sisi.

Saya jalani hidup perkahwinan ini dengan linangan air mata. Saya cuba sedaya upaya untuk fokus pada kerja dan anak-anak. Saya cuba bercakap dan tersenyum seperti biasa. Hakikatnya di dalam hati, saya seolah-olah orang yang sudah mati tapi masih berjalan ke sana ke mari. Saya tidak pernah memikirkan masa depan yang gemilang. Dapat habiskan 1 hari sudah cukup baik bagi saya.

Dulu saya fikir bersabar dan mempertahankan perkahwinan akan membuat saya lebih bahagia tapi saya tersilap. Saya dapat kekuatan untuk melepaskan ikatan itu kerana ia semakin hari semakin memakan diri saya. Saya tidak pernah tenang dalam mahligai yang kami bina. Biarpun rumah ini mewah dan punya segala-galanya. Ianya ibarat neraka bagi saya. Saya harus lepaskan diri dari situ.

Pada suatu hari saya bangkit dari tidur yang panjang. Saya kini ibarat mendapat oksigen dari planet baru. Hari ini saya bangga dengan diri sendiri kerana memilih untuk melepaskan. Semoga Allah mengampunkan dosa saya kerana memilih jalan yang dimurkaiNya.

"Getting over a painful experience is much like crossing monkey bars. You have to let go at some point in order to move forward. "

Artikel ini di kongxie oleh hamba Allah yang tidak mahu dikenali.
Dikuasakan oleh Blogger.