Resepi Tauhu Sumbat Kuah Kacang

Assalamualaikum! Nak cerita sikit. Tauhu sumbat sememangnya favorite saya dari budak-budak lagi. Tauhu kegemaran saya selalunya bukannya tauhu sumbat kuah kacang tetapi tauhu sumbat kuah cili atau sambal cili. Pada tahun lepas, semasa dalam perjalanan ke Kedah, saya sempat singgah di Sungai Petani untuk sarapan pagi. Kecewanya saya kerana nasi lemak di sana agak berbeza, rata-rata peniaga nasi lemak di sana menjual nasi lemak kuah kari ( tanpa sambal ). Sebagai pengemar nasi lemak tegar, sambal ikan bilis memanglah wajib dalam diari hidup saya dan sebagai warga Kuala Lumpur asli, nasi lemak tanpa sambal sudah tentu sesuatu yang sangat janggal. Namun En. suami, ( orang Aloq Staq) menerangkan kepada saya memang itu cara orang Kedah makan nasi lemak, tapi ada juga kedai yang jual nasi lemak bersambal cuma jarang-jarang.

Berbalik kepada cerita tauhu sumbat kuah kacang...oleh kerana tiada pilihan lain saya memilih gerai yang menjual tauhu dan cucuk udang untuk sarapan. Iya benar, ada gerai menjual cucuk udang dan tauhu sumbat sebagai sarapan pagi di Sungai Petani. Biarpun pelik saya rasa fun juga mencuba sesuatu yang baru. Selalunya sarapan pagi saya 90 % nasi lemak, yang lain-lainnya, roti canai, kuih muih, lontong, mee goreng atau mee hoon goreng.

Sekali lagi kecewanya saya apabila melihat kuah yang digandingkan bersama cucuk udang dan tauhu saya adalah kuah kacang. Dalam kecewa saya gagahkan juga menyuap satu ke dalam mulut. Malas nak komplin lagi nanti nampak macam pompuan cerewet pulak. Perempuan cerewet-cerewet sangat tak sexy.

Tak sangka! Pelik betul rasanya. SEDAP GILER!!. Ini bukan kali pertama saya makan kuah kacang dengan tauhu tapi kuah kacang di Sungai Petani tu memang the best!!. Dalam kalut makan tak berhenti, mulut saya memuji-muji peniaga tauhu sumbat tu. "Sedap kak, sedapnya". Tersenyum simpul kakak tu duk kena puji tak berhenti. Rasa macam nak minta resepi(macamlah dia nak kasi) tapi En suami dah jeling-jeling suruh percepatkan sarapan  kerana perjalanan masih jauh. Takpe la takde rezeki tapi itulah permulaan journey saya mencari resepi kuah kacang yang boleh tandingi rasa kuah kacang tersebut. Rindunya...

Saya dah mencuba resepi kuah kacang dari berbagai blog tapi rasanya tetap tak sama. Mungkin kita kena adjust bagi manis sikit mengikut taste kita. Biarpun kuah kacang itu simple je cara pembuatanya, mungkin air tangan yang membezakan rasanya. Tapi takpe usaha tangga kejayaan. Mari cuba resepi di bawah. Kalau kena dengan tekak, then ok la..kalau tak kena adjust-adjust la sikit. Barulah suri rumah sejati gitu.

Bahan-bahan untuk Tauhu:

5 Keping tauhu
Segengam taugeh (celurkan sekejap, jangan overcook tak sedap, khasiat pun lari )
Timun ( Hiris halus )
Karot   (Hiris halus )

Gorengkan tauhu sehingga kekuningan dan sejukkan. Potong dua ( triangle shape ) atau bentuk tiga segi. Buat belahan di tengah-tengah tauhu yang telah dipotong tadi. Belah sedikit saja tau! Kemudian sumbatkan taugeh, timun dan karot di dalamnya.


Dalam banyak-banyak resepi kuah kacang saya promote resepi dari Kak Noor. Kak Noor adalah empunya blog sajiandapurbonda.blogspot.my. Ada banyak resepi sedap kat sana. Kalau rajin gi la jengok2 ya. Setakat ini resepi kuah kacang ni yang paling sedap saya pernah cuba. Kuah kacang ini sebenarnya kuah kacang nasi impit tapi sesuai sangat-sangat dimakan bersama sate, cucuq udang dan tauhu sumbat.

Resepi Kuah Kacang

Bahan-bahannya:
5 cawan kacang tanah yang telah dikisar kasar
*3 sudu besar gula perang atau gula merah
3 sudu besar gula putih
3 keping asam gelugor (asam keping)
¼ cawan pati santan atau ¼ cawan susu sejat
Garam secukup rasa
1 sudu kecil serbuk perasa – jika suka
¾ cawan marjerin
¼ cawan minyak kelapa

Bahan-bahan B (Digoreng kering tanpa minyak dan kemudian dikisar):
100 g cili kering
8 batang serai – dihilis halus
2 biji bawang besar – dipotong kecil
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 inci halia
2 inci lengkuas
½ inci belacan
Air secukupnya untuk mengisar

Penyediaan Bahan-bahan B:
1. Cili kering dipotong kecil dan kemudian direbus ataupun direndam dengan air panas sehingga lembut. Kemudian dibasuh. Semasa membasuh, ramas cili kering supaya bijinya keluar. Kemudian toskan.
2. Semua bahan B digoreng kering terlebih dahulu di dalam kuali sehingga naik bau lebih kurang 15 minit.
3. Masukkan bahan B di dalam blender bersama air secukupnya. Kisar sehingga semua bahan menjadi halus.

Cara-cara membuat kuah kacang:
1. Panaskan marjerin dan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan B yang telah dikisar sehingga naik bau dan terbit minyak.
2. Masukkan sedikit air dan kacau rata.
3. Kemudian masukkan gula perang, gula putih, garam, serbuk perasa, asam gelugor, dan serai. Kacau rata sehingga semua bahan mesra.
4. Selepas itu bolehlah dimasukkan kacang tanah kisar dan kacau rata. Masukkan pati santan dan juga air secukupnya. Kuah kacang mestilah jangan terlalu cair atau terlalu pekat. Masak sehingga kuah mendidih. 
 
*Kuah kacang akan menjadi warna merah gelap sekiranya kita gunakan gula merah, tetapi sekira digunakan gula perang, warna kuah kacang akan berwarna merah terang.

Sedap ni yang..wajib cuba!!
Dikuasakan oleh Blogger.