DISIHIR GUNA GAMBAR FACEBOOK


Tengah malam tadi ketika aku tengah godek-godek internet aku terjumpa sebuah gambar keratan akhbar lama yang agak menarik perhatian aku, surat khabar Kosmo kalau tak silap yang bertajuk ‘Disihir guna gambar dalam Facebook’. Siapa sangka kan, gambar-gambar yang kita letakkan sekadar suka-suka di facebook kita sendiri pun boleh dijadikan sebagai bahan untuk perbuatan sihir.

Menurut cerita yang disiarkan dalam akhbar Kosmo tesebut, seorang pelajar perempuan dari salah sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA) yang bernama Ira (tidak dapat dipastikan sama ada ini nama sebenar atau nama samaran) mendakwa bahawa beliau menjadi mangsa sihir apabila gambar beliau yang diletakkan di dalam akaun laman sosial ‘Facebook’ digunakan sebagai senjata pemujaan sihir.

Ira yang berumur 22 tahun ketika itu menceritakan kepada wartawan Kosmo bahawa dia telah disihir oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Maria. Ira percaya Maria menyihirnya kerana cemburu terhadap hubungan Ira bersama teman lelakinya serta mahu memutuskan hubungan mereka. Menurut Ira lagi, Maria sebenarnya adalah bekas teman wanita kekasihnya tetapi hubungan mereka telah lama putus. “Sebab itu dia menyihir saya kerana ingin melihat hubungan kami hancur”, kata Ira.

Asalnya Ira dan Maria tidak mengenali antara satu sama lain. Suatu hari Maria menghantar permohonan menjadi rakan (friend request) di facebook Ira. Tanpa mengesyaki apa-apa, Ira menerima salam perkenalan dari Maria. “Dia hadir menghulurkan tangan sebagai rakan dan saya sambut kerana ingat dia jujur namun sebaliknya,” dakwa Ira ketika ditemui oleh Wartawan Kosmo.

Bagaimana Ira mengetahui yang dia telah disihir oleh Maria? Perkara sihir-menyihir ini diketahui oleh Ira setelah dia mendapatkan rawatan daripada Pusat Rawatan Islam At Tobibi di Bandar Baru Nilai, pada bulan Jun tahun tersebut. Orang yang merawat Ira adalah penaung pusat rawatan itu yang bernama Shamsuri Safie. Melalui proses rawatan itu, Ira mengetahui bahawa Marialah orang yang telah bertindak kejam dengan menyihirnya melalui gambar yang terdapat dalam akaun facebook miliknya.

Menurut Ira, semasa rawatan, dia mendapati gambar mata Maria seolah-olah bersinar setiap kali dia merenung gambar itu. Waktu berkawan dengan Maria, Ira merasakan Maria terlalu baik orangnya dan dia menurut segala kemahuan Maria termasuklah berhenti kerja. Setelah berubat, baru Ira mendapat tahu bahawa dia bukan sahaja terkena sihir malah turut disantau oleh Maria.

Orang yang merawat Ira iaitu Shamsuri Safie memberitahunya bahawa Maria juga telah meletakkan abu mayat di dalam makanannya. Ira benar-benar tidak menyangka gambar dalam laman sosial facebook miliknya sendiri digunakan untuk menyihir dan menyantau dirinya agar kehidupannya musnah.

Bukan itu sahaja, rupanya bukan Maria seorang saja yang menyihir dan menyantau dirinya. Malah lebih menyedihkan apabila mengetahui bahawa teman lelaki dia sendiri turut mengenakan sihir pengasih atau penunduk semata-mata untuk memikat hati Ira. Melalui sihir pengasih dan penunduk tersebut teman lelaki itu. Terasa kasihan pula pada si Ira ni, dah lah kena santau, diserang pula dengan sihir 2 dalam 1 daripada orang-orang yang dia sayang dan percaya iaitu teman lelaki yang sepatutnya melindungi dirinya dan Maria yang telah diangggap sebagai seorang sahabat yang baik oleh Ira.

Selepas terkena sihir, Ira menceritakan yang dia sering terserempak dengan lembaga hitam dan selalu dengar bunyi loceng kat bawah katil pada setiap malam. “Saya juga pernah termuntah dan muntah tersebut mengandungi benda-benda asing seperti abu mayat,” cerita Ira kepada Kosmo.

Tentang sejauh mana kebenaran mengenai sihir ini tidak dapat dipastikan kerana aku bukanlah orang yang arif mengenai ilmu ghaib ini. Apa yang dapat aku lakukan cuma berkongsi mengenai hal ini agar menjadi ia peringatan buat kita bersama. Hanya orang yang pernah mengalami sendiri sahaja yang tahu betapa perit dan seksanya terkena ilmu sihir ini.

Semoga kita semua dijauhkan daripada ilmu sesat yang melibatkan sihir dan santau-menyantau ini. Pada masa yang sama diingatkan agar kita semua lebih berhati-hati. Tidak perlu terlampau sangat nak berkongsi gambar di laman sosial facebook. Lebih baik gambar-gambar dalam facebook disetkan untuk tatapan peribadi sahaja atau kurangkan memuat naik gambar dalam facebook.

Sumber : http://www.kisahseram.com
Dikuasakan oleh Blogger.