Cinta Datang Tanpa Diduga.


Aku tidak pernah menyangka akan jatuh cinta lagi. Apa yang aku alami di alam perkahwinan membuatkan aku serik dengan apa saja yang berkaitan dengan cinta.

Ada masa-masanya menjalani hidup terasa sungguh susah dan kesengsaraannya tak dapat di luahkan dengan kata-kata. Tanpa aku duga ada insan yang dalam diam memerhati segala yang berlaku dan perubahan dalam tingkah lakuku.

Di saat aku berusaha menyembunyikan segala yang terbuku di hati tanpa aku duga ada insan yang perasan apa yang orang lain tidak nampak.

Aku berjumpa dengan dia hari-hari. Dia yang menghantar anak-anakku ke sekolah dan menghantar aku ke pejabat. Dia menawarkan khidmat yang termurah antara banyak-banyak pemandu teksi dan aku boleh membayarnya secara bulanan. Dia juga adalah saudaraku tetapi saudara jauh. Kami membesar bersama tapi usianya 3 tahun lebih tua dari usiaku.

Aku seronok apabila bersama dengannya kerana kami sudah biasa. Kami boleh bercerita apa saja. Dia seorang yang pandai membuat aku ketawa. Setiap hari dia akan membuat aku tersenyum samada dengan cara sengaja atau tidak. Ada saja gelagatnya yang membuatkan aku tergelak. Anak-anakpun cukup suka dengannya. Aku bersyukur dia ada kerana sekurang-kurangnya aku dapat melupakan masalah aku buat seketika.

Satu hari selepas mengambil aku lepas kerja, dia meminta izin untuk berehat di rumah aku sebentar. Sebenarnya dia memang sudah biasa keluar masuk ke rumahku. Suamiku pun tidak kisah kerana kami sudah seperti adik beradik. Hari tu suamiku tiada di rumah ( macam biasa ). Sebenarnya aku sudah tidak ambil tahu ke mana dan di mana suami aku. Aku sudah terbiasa dengan keadaan itu. Anak-anakku di bela oleh jiran sebelah yang juga saudara jauh ku.

Aku menyiapkan makan malam dan anak-anak sibuk membuat kerja sekolah di ruang tamu. Selepas itu kami makan bersama. Selepas makan, dia bermain gitar sambil menyanyi. Lagu pertama yang dia nyanyikan ialah "Dea lova" lagu nyanyian Once. Sambil membasuh pinggan aku boleh mendengar setiap butir lirik lagu nyanyiannya. Indah sungguh alunan suara itu.

"Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu
aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau rindu
Karena langkah merapuh tanpa dirimu
Karena hati telah letih

Aku ingin menjadi sesuatu yang selalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu bahwa ku selalu memujamu
Tanpamu sepinya waktu merantai hati..."

Dia bermain gitar tanpa henti dengan alunan koleksi lagu-lagu cintanya. Aku sangat suka mendengar lagu dan petikan gitarnya. Ia membuat hati aku rasa nyaman dan tenteram.

Apabila sudah pukul 10 malam  aku mengajaknya keluar memandu ke bandar. Aku ingin melihat lampu-lampu di bandar. Dia bersetuju. Oleh kerena hari itu hari sabtu aku boleh membawa anak-anakku sekali. Kami berbual tentang kerja tentang pengalaman masa lalu dan seperti biasa kami akan ketawa bersama. 

Anak-anak sudah tertidur di belakang. Tiba-tiba dia berkata yang dia tahu aku berpura-pura. Senyuman dan ketawa aku adalah pura-pura. Dia kata aku cuba nak menunjukkan yang aku seorang yang happy dan bahagia tapi itu semuanya pura-pura. Bagaimanapun cara aku tersenyum dan ketawa dia boleh nampak kelukaan di sebalik mata aku katanya.

Aku terkejut besar dan tersentak bila dengar dia kata macam tu. Dia kata dia tahu aku ada masalah dengan suami aku. Dia kata dia tahu suami aku penagih dadah. Aku tak sangka. Sebenarnya aku dah cuba sedaya upaya menyimpan rahsia itu dari pengetahuan semua orang termasuklah keluarga. Tiada siapa yang tahu bahwa suami aku dah lama tidak bekerja dan hanya menghabiskan duit menghisap dadah.  Aku tak dapat berbuat apa-apa selain dari menangis semahu-mahunya. Aku tak sangka yang dia dah lama tahu. 

Aku tak boleh berhenti menangis kerana selama ni aku buat-buat bodoh. Aku dah terlalu immune dengan kesedihan sampai aku dah tak boleh menangis lagi. Dah lama aku tak menangis. Aku menjadi redha menerima keadaan walaupun hati aku menangis. Aku menangis dan menangis. Dia memberhentikan kereta dan memegang tanganku. Tiba-tiba dia memelukku dan berkata, "tak apa menangis lah, aku akan sentiasa berada denganmu. " 

Itulah kali pertama aku membenarkan diriku dipeluk oleh lelaki lain selain dari suamiku. Semakin kuat aku tersedu semakin kuat pelukannya. Aku terasa sangat emosional dan tidak berdaya. Aku tidak dapat gambarkan dalam hati betapa sedihnya aku pada waktu itu. Tiba-tiba dia mencium dahiku dan berkata bahawa dia dah lama menyintai aku. Sedari belasan tahun lagi. Dia pendamkan kerana status aku sebagai isteri orang. Dia tak sanggup melihat aku tersiksa kerana itu dia selalu ada di sisi aku dan anak-anakku. Padahal dia telah dapat banyak tawaran kerja di Kuala Lumpur tetapi dia tolak kesemuanya kerana dia tak sanggup meninggalkan aku dalam kesedihan.

Patutlah dia selalu membuat perangai-perangai macam ahli komedian, rupanya dia memang sengaja nak buat aku ketawa. Patutlah dia selalu buat lawak bodoh. Dia memang sengaja nak tengok aku tersenyum. Selama ini aku menganggap dia sebagai kawan rapat dan juga insan baik yang sudi menolong. Aku tidak sangka dia ambil perhatian dalam segala segi tentang aku dan anak-anak.

Semenjak hari itu, kami masih bertemu dan berjumpa seperti biasa. Semuanya seperti biasa antara kami cuma perasaan aku terhadap dia dah bertukar menjadi cinta. Semakin hari semakin mendalam. Walaupun tanpa perhubungan tubuh badan, aku dapat rasakan kasih sayang yang ikhlas dan suci dari dia. Dia masih bermain gitar dan mengalunkan lagu-lagu cinta untuk aku. Dia tidak pernah mengambil kesempatan di atas keadaan aku. Sebaliknya dia sangat menghormati aku. Kadang-kadang aku dambakan pelukan dan sentuhannya tetapi aku sedar aku masih isteri orang.

Cinta sebenar bukan berlandaskan fizikal semata-mata, cinta sebenarnya adalah apa yang kita kongsi dari hati. Aku tidak tahu ke mana hala tuju perhubungan aku dan dia. Aku berdoa supaya Allah beri jalanNya yang terbaik untuk kami berdua. Amin.

Cerita ini dikongxie oleh wanita yang mahu dikenali sebagai Maisarah dari Jaybee. 

Dikuasakan oleh Blogger.