Abang Kandung Rogol 3 Adiknya Di Sungai Petani



Jumaat, 21 Julai 2017: REMAJA lelaki ditahan, hari ini selepas tergamak memperkosa tiga adiknya sendiri di kediaman mereka di Sungai Layar, Sungai Petani.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, kejadian terbaru berlaku 9 pagi semalam selepas suspek berusia 18 tahun memaksa adik perempuannya berusia lapan tahun melakukan sumbang mahram itu di dalam rumah kosong bersebelahan rumah mereka.

Menurutnya, selepas melakukan perbuatan itu, suspek kemudian mengugut memukul adiknya jika menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.

"Bagaimanapun mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian memberitahu ibunya, 39, yang terkejut sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani semalam.

"Siasatan mendapati suspek sebelum ini turut melakukan perkara sama ke atas adiknya berusia sembilan dan 14 tahun," katanya.

Saifi berkata, kejadian sebelum ini, tiada laporan polis dibuat kerana ibunya menyangka anaknya bergurau selepas suspek mendakwa adik-adiknya membuat fitnah.

"Kita sudah menahan suspek pagi tadi dan perintah tahanan reman akan dipohon esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan," katanya. --Metro


Jumaat, 4 Ogos 2017

Sungai Petani: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun menangis sebaik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas empat pertuduhan memperkosa dan mencabul tiga adik perempuannya, Julai lalu.

Tertuduh yang berpakaian lokap ungu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Saiful Bahari Adzmi.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol adiknya berusia lapan tahun lapan bulan di sebuah rumah, di sini, pada 19 Julai lalu, jam 8 malam.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap adiknya berusia 14 tahun dua bulan, di sebuah rumah, di sini, pada 21 April lalu, jam 9 malam.

Tertuduh seterusnya didakwa memasukkan jari ke kemaluan dua adik kandungnya berusia 14 tahun dua bulan dan 10 tahun tiga bulan, masing-masing pada 18 dan 14 Julai lalu, jam 11 pagi dan 9 malam.

Timbalan Pendakwa Raya J Geeta yang melakukan pendakwaan membantah jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira hubungannya dengan mangsa dan dibenarkan mahkamah.

Mahkamah menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam bela.

Bukan gambar sebenar / sekadar gambar hiasan
Dikuasakan oleh Blogger.