Song Joong Ki dan So Ji Sub bertemu peminat di Pavilion


Nama bintang popular Korea Selatan, Song Joong Ki dan So Ji Sub dijerit lebih 10,000 peminat beberapa kali pada sesi ramah mesra di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur, kelmarin.

Dua pelakon tampan itu berada di ibu kota bersama pelakon Hwang Jung Min dan pengarah Ryu Seung Wan untuk mempromosikan filem The Battleship Island.

Populariti Joong Ki di Malaysia bukan menghairankan selepas tunang kepada pelakon Song Hye Kyo itu membintangi drama popular Descendants of the Sun.

Malah nama Ji Sub mula mencuri perhatian peminat luar negara menerusi drama bersiri Master’s Sun yang bersiaran pada 2013.

Sesi ramah mesra itu menjadi kunjungan pertama pelakon berkenaan ke negara ini dan mereka turut mengakui terkejut melihat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia.

Pada sesi ramah mesra selama 15 minit itu, Joong Ki berkata, dia terharu melihat sokongan peminat terhadap filem The Battleship Island.

“Terima kasih di atas layanan baik, kamu semua sangat bersemangat. Saya berharap kamu seronok menonton filem ini,” katanya.

Dalam filem epik perang itu, Joong Ki berlakon sebagai anggota Korean Independence Movement pada zaman penjajahan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Ketika diminta memberi ucapan pendek, Seung Wan berpuas hati terhadap persembahan pelakon dan memuji dedikasi mereka dalam menjayakan filem itu.

“Pelakon sudah memberi yang terbaik dan saya sangat menghargai usaha mereka,” katanya.

Ji Sub pula berkata, dia sudah lama meminati karya arahan Seung Wan dan bersyukur berpeluang bekerjasama dengan pengarah terbabit.

“Sebenarnya saya sudah lama ingin bekerjasama dengan Seung Wan dan akhirnya hasrat itu tercapai,” katanya.

Filem The Battleship Island berdasarkan kisah benar yang berlaku ketika Perang Dunia Kedua.

Seramai 400 rakyat Korea Selatan dibawa ke Pulau Battleship dan dikerah menjadi buruh lombong arang batu yang dikendalikan tentera Jepun.

Sekumpulan pemuzik yang diketuai Lee bersama anak perempuannya So Hee bersama puluhan rakyat Korea baru tiba di pulau itu selepas ditipu individu dkenali.

Bukan saja kilang lombong, pulau itu juga ibarat perkampungan kecil kerana turut menjadi tempat kediaman pekerja dan dilengkapi rumah pelacuran.

Jalan cerita filem ini penuh dengan babak emosi penderitaan pekerja terutama kanak-kanak yang terpaksa mengerah kudrat manakala wanita dijadikan hamba seks.

Sementara itu, Lee mula berbaik-baik dengan askar Jepun agar dapat sentiasa bertemu dengan anaknya yang bekerja sebagai orang gaji pengurus lombong itu.

So Hee bertuah kerana kelebihannya sebagai penyanyi dan mampu membuat kerja rumah menyelamatkan dia daripada dijadikan pelacur.

Selain kasih sayang bapa, The Battleship Island turut menonjolkan semangat patriotisme Park Moo Young yang juga perisik tentera.

Kehadirannya di pulau itu demi kemerdekaan yang juga ketua buruh namun, Moo Young akhirnya mendapat tahu lelaki terbabit sebenarnya pembelot.

Moo Young kemudian mengatur perancangan untuk membawa semua warga Korea keluar dari pulau berkenaan dengan menaiki kapal besar.

Karya ini disarankan bagi peminat sejarah dan peminat karya perang.

Filem The Battleship Island bakal menemui penonton pada 17 Ogos ini.

Lebih sejuta tiket dijual pada tayangan perdana, The Battleship Island di Korea Selatan bulan lalu, sekali gus mencipta rekod baru box office negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017
sumber : michellegun@hmetro.com.my
sumber photo : k-popped.com
Dikuasakan oleh Blogger.